Tompizos dalam bahasa melayu bermaksud ulat bulu. Suku kaum dusun tompizos di katakan kebal daripada ulat bulu yang mengelilingi penempatan mereka. Penempatan asal etnik ini berada berhampiran dengan tugu Nunuk Ragang iaitu sebuah tempat yang dikenali sebagai Tompios. Lokasi ini kini terletak di jalan Ranau-Sandakan.

Identiti mereka boleh dibezakan dengan suku Kadazandusun lain menerusi sebutan dalam pertuturan, iaitu banyak menggunakan konsonan ‘dl’ yang menghasilkan letupan glotis di tepi lidah dan lelangit. Etnik ini kumpulan minoriti dengan anggaran antara 10,000 hingga 15,000 sahaja di Sabah. Kumpulan etnik ini kebanyakan boleh ditemui di lima kampung di Tongod iaitu Kampung Simpang Entilibon, Sanan, Linayukan, Maliau dan Namukon, manakala 20 kampung lagi di Keningau. Antaranya, Batu Lunguyan, Simpan Empat, Mandagan, Pekan Keningau, Kabatang Baru, Sinua serta Sinaron.

Suku kaum dusun tompizos mempunyai banyak pantang larang yang berkaitan dengan sawah padi, beras dan nasi.

Antara Kepercayaan masyarakat suku kaum dusun tompizos ialah bahawa mereka tidak boleh menyenduk nasi dalam periuk daripada bahagian tengah, sebaliknya dimulakan dari tepi, larangan memijak nasi dan tidak boleh meninggalkan walau sebutir pun nasi dalam pinggan kerana semangat padi. Pantang larang semasa berladang pula mencegah masyarakat suku kaum dusun tompizos daripada menjemur padi daripada tengah tetapi haruslah dimulakan dari tepi ladang.

Suku kaum dusun tompizos yang kini menjadi sebahagian daripada rumpun KDMR mempunyai pakaian tradisi yang unik. Pakaian tradisional mereka mempunyai timah yang berbentuk segitiga di belakang pakaian wanitanya yang mengikut kepercayaan suku kaum dusun tompizos digunakan untuk memanggil roh. Manakala pakaian tradisi lelaki pula mempunyai rantai yang terdiri daripada gigi binatang dan parang berukir.

Cara hidup berpindah randah masyarakat suku kaum dusun tompizos membawa etnik ini bertebaran sehingga ke daerah Keningau selepas kampung mereka dilanda penyakit berjangkit seperti kolera dan taun. Lamia Ladu, 57, wanita etnik suku kaum Dusun Tompizos yang menetap di Kampung Simpang Entilibon dan golongan orang orang tua etnik ini kini menjadi sumber penulisan dan pengetahuan generasi muda rakyat Sabah mengenai suku kaum mereka.

Etnik suku kaum dusun tompizos kini telah meninggalkan kebanyakan pantang larang adat istiadat lama suku kaum mereka seiring dengan perubahan masa.


Sumber: Berita Harian