Desibel adalah sebuah unit bersifat logaritma yang boleh digunakan untuk mengukur kadaran dua magnitud berbeza bagi sesuatu kuantiti fizik. Desibel adalah unit tanpa dimensi memandangkan ia merupakan kadar bagi dua nilai yang mempunyai unit yang sama.

Simbol bagi desibel adalah dB. Satu dB adalah bersamaan dengan satu per sepuluh bel (B).

Desibel berguna untuk berbagai jenis ukuran dalam sains dan kejuruteraan (contohnya akustik dan elektronik) dan juga bidang-bidang lain. Ia mempunyai beberapa kelebihan, seperti kebolehan mewakili nombor besar atau kecil dengan mudah, menggunakan skala logaritma yang secara kasarnya secocok dengan pengamatan manusia terhadap, contohnya bunyi dan cahaya, dan kebolehan melakukan pendaraban nisbah melalui kira-kira campur dan tolak yang lebih mudah.

Sejarah

sunting

Istilah bel mula-mula diilhamkan oleh jurutera-jurutera dari Bell Telephone Laboratories untuk menghitung pengurangan pada tahap audio melalui sebuah kabel telefon piawai sepanjang 1 batu (lebih kurang 1.6 km). Pada mulanya istilah transmission unit (unit penyiaran) atau TU digunakan, namun pada tahun 1923 atau 1924 ia telah dinamakan semula sempena nama pengasas Bell System dan perintis telekomunikasi yakni Alexander Graham Bell.