Biasiswa Yang di-Pertuan Agong

Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (Bahasa Inggeris: Yang di-Pertuan Agong Scholarship dan King's Scholarship), atau Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong (BYDPA), ialah biasiswa yang ditawarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di Malaysia. Biasiswa ini dianggap oleh ramai pihak sebagai biasiswa yang paling berprestij dan terunggul di Malaysia. Biasiswa ini bertujuan untuk menaja warganegara Malaysia yang cemerlang di dalam bidang akademik dan bukan akademik bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Lanjutan (Ijazah Sarjana atau Kedoktoran) di universiti dalam dan luar negara secara sepenuh masa.

Objektif utama program ini untuk memberi pengiktirafan kepada warga Malaysia yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah diri untuk melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang yang akan memberi manfaat kepada Negara. BYDPA merupakan program biasiswa berprestij berbanding program-program penajaan lain dengan kelebihan daripada segi kadar biasiswa yang ditawarkan, syarat-syarat kelayakan dan penempatan di universiti-universiti terkemuka dunia. Penerima BYDPA juga tidak terikat untuk berkhidmat dengan Kerajaan tetapi dikehendaki berkhidmat di Malaysia dalam sebarang sektor setelah menamatkan pengajian.[1]

Sejarah

sunting

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) mulai tahun 2000 telah melaksanakan program baru dikenali Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (Bahasa Inggeris: King Scholarship) selaras dengan keputusan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 3 November 2004 dan mendapat persetujuan Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 16 Mac 2005.

Biasiswa ini diperkenalkan bagi memberi pengiktiraf akan kebolehan luar biasa seseorang calon melanjutkan pengajian di peringkat pasca Ijazah (Sarjana dan PhD) khasnya dalam bidang Sains dan Teknologi dalam dan luar negeri.

Pemilihan pertama Biasiswa Yang di-Pertua Agong telah dibuat pada 29 September 2006 iaitu lima (5) calon Sarjana dan lima (5) calon PhD. Majlis penyampaian biasiswa ini telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Penerima biasiswa ini juga diperkenalkan kepada semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam satu majlis khas sebelum Majlis Santapan Malam bagi memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-raja di Istana Negara.[2]

Bilangan tawaran

sunting

Pada 17 Julai 2024, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata biasiswa berprestij yang mula diperkenalkan pada 2006 berjaya menaja calon berprestasi tinggi dalam akademik dan bukan akademik (ko-kurikulum). Setakat ini, sebanyak 19 sesi penawaran dilaksanakan dengan 212 warganegara Malaysia menerima penajaan BYDPA iaitu 107 orang pada peringkat Kedoktoran (PhD) dan 105 peringkat Sarjana.[3]

Syarat permohonan

sunting

Syarat umum

sunting

Seseorang pemohon mestilah warganegara Malaysia dan berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari tahun penawaran.

Syarat khas

sunting

Seseorang pemohon mestilah mmpunyai keputusan akademik yang amat cemerlang iaitu; calon Sarjana mestilah mempunyai Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya; atau calon Kedoktoran mestilah mempunyai Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya. Seseorang pemohon telah mendapat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa dalam tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.[4]

Pengajian bagi peringkat Sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis. Pemohon juga perlu melibatkan dalam penghasilan kerja-kerja yang mengandungi elemen kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya iaitu; penglibatan calon Sarjana secara aktif adalah satu kelebihan atau penglibatan calon Kedoktoran adalah wajib.[5]

Bidang pengajian

sunting

Bidang Pengajian yang layak dipohon ialah Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam.[6]

Institusi pengajian tinggi

sunting

Institusi pengajian tinggi awam di Malaysia yang layak dipohon termasuklah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).[7]

Rujukan

sunting