Unggun api
Unggun Api ialah unggunan api di ruang luar yang dinyalakan dengan kayu bakar, potongan kayu, atau dahan, ranting, jerami, atau daun-daun kering. Orang yang berkhemah, berkelah atau peminat kegiatan dalam hutan sering membuat unggun api sewaktu berkhemah atau melakukan kegiatan secara terbuka.
Unggunan api dinyalakan untuk melindungi diri daripada binatang buas, memanaskan badan, isyarat bahaya, upacara keagamaan atau perayaan, atau sebagai perapian untuk memasak makanan. Sewaktu berkhemah, orang sering berkumpul di sekitar unggun api untuk menyanyi, menari, atau bermain. Bahan makanan seperti ubi keledek, ubi kayu, atau jagung sering dimasak dengan cara dibakar dengan api unggun. Makanan juga boleh ditusuk dengan ranting kayu atau tongkat besi sebelum dipanggang. Alat masak seperti cerek dan periuk juga boleh digunakan di atas perapian dengan bantuan tungku dari batu atau kayu.
Potongan kayu atau ranting disusun ke atas dengan memberi ruang antara susunan kayu agar api cukup mendapat oksigen, dan api unggun boleh menyala hingga kayu habis dibakar. Angin kencang, kabut, kayu yang basah, udara yang sangat lembab, dan lokasi yang kekurangan oksigen merupakan penyebab api unggun sukar menyala.
Bahaya kebakaran
suntingApi unggun yang menyala secara tidak terkawal boleh menyebabkan kebakaran hutan atau gambut. Percikan bara api yang dibawa angin boleh menjadi salah satu penyebab kebakaran. Daun kering di permukaan tanah dan semak-semak yang turut terbakar menjadikan api cepat menjalar.
Bahaya kebakaran dapat dihindari dengan membuat api unggun di tempat terbuka yang jauh dari pokok-pokok, semak-semak, atau benda-benda yang mudah terbakar. Lokasi sekitar api unggun harus bebas dari rumput, daun, atau ranting kering yang mudah terbakar. Api unggun sebaiknya tidak dinyalakan di atas tanah yang di bawahnya terdapat akar-akar pohon atau gambut untuk menghindari kebakaran di bawah tanah yang tidak kelihatan. Kebakaran dapat dicegah dengan menutup bahagian bawah unggun dengan tanah atau pasir sebelum menyusun kayu atau ranting untuk api. Selain itu, air dan tanah perlu disediakan secukupnya untuk memadamkan api tersebut. Walaupun sudah dipadamkan, api harus betul-betul dipastikan sudah padam dengan menyiram air dan dikambus dengan tanah atau pasir.
Amalan antarabangsa
suntingDalam bahasa Inggeris, unggun api yang dibuat sewaktu berkhemah disebut campfire, sedangkan unggunan yang lebih besar disebut bonfire. Istilah bonfire digunakan untuk api yang dinyalakan untuk upacara keagamaan atau perayaan. Asal-usul kata bonfire ialah tradisi orang Celt yang membakar tulang-tulang haiwan yang disebut bone fire (api tulang) untuk mengusir roh jahat. Setiap bulan November di Great Britain dilangsungkan perayaan unggun api dipanggil Malam Guy Fawkes. Di Ireland Utara, Pertempuran Boyne 12 Julai 1690 diperingati dengan menyalakan api unggun.
Pautan luar
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Api unggun. |
- Teknik Membuat Api Buletin Wanadri