Alias Congo atau nama sebenarnya Alias bin Said (1932 – 29 Julai 1972) merupakan pelakon, pelawak dan pemuzik era 60an hingga 70an.[1][2][3][4]

Alias Congo
Kelahiran
Alias bin Said

1932 (1932)
Meninggal dunia29 Julai 1972(1972-07-29) (umur 39–40)
Sebab kematianGastristis Ulcer
Nama lainAbang Apek
PekerjaanPelakon, pelawak, pemuzik
Tahun aktif1962–1972
PasanganZainah Yunus
Anak-anakAzhar Alias

Kehidupan Awal

sunting

Alias Congo atau nama sebenarnya adalah Alias Bin Said ini berasal dari Pulau Berani, Singapura. Dia adalah lepasan Sekolah Menengah Kota Raja dan kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Sekolah Agama Al-Junid, Singapura.

Asal Usul Nama

sunting

Asal usul nama Alias congo ini sebenarnya digunakan sempena pergolakan yang sedang berlaku di negeri Congo. Pergolakan politik dan guling mengguling serta pembunuhan yang berlaku antara kuncu kuncu Mobutu di satu pihak lain di Congo pada tahun itu telah menarik hati alias. Justeru itu, sesuai dengan jiwa humor dalam dirinya telah menarik beliau untuk menggunakan nama negeri itu dipenghujung namanya.

Kerjaya

sunting

[5] Apabila kita kenang kembali telatah Alias Congo, pasti kita akan teringat dengan satu watak apek dalam filem Madu 3 arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Alias congo merupakan seorang yang versatile dan mempunyai keistimewaan dengan memek muka, pakainnya serba hitam dan loghat ala cina sering membuatkan penonton terhibur. Bagi sesiapa yang mengenalinya, dia dikenali sebagai apek dan popular bukan sahaja kepada masyarakat melayu malah kepada masyarakat bukan melayu.

Kemunculan pertamanya dalam dunia lawak ialah pada Ogos 1961 dalam satu pertunjukan pentas di Panggung Victoria. Pada Waktu Itu, dia berpasangan lawak dengan pelawak yang telah terlebih awal muncul darinya. Oleh karena kemunculan pertamanya pada waktu itu amat baik dan di terima, nama pasangannya yang muncul lebih dahulu tidak diperhatikan orang. Maka sejak dari pertunjukan itulah di mula dikenali sebagai pelawak baharu dan dari bakat lawak yang telah diperhatikan buat pertama kali itu, dia dilihat mempunyai potensi yang besar untuk meneruskan profesion tersebut. Kemunculannya pada tahun tersebut telah menambahkan lagi senarai pelawak yang setelah sekian ramai waktu itu.

Setelah pertunjukan itu, dia sering berpasangan dengan rakan pelawak lain seperti Aziz King Godobel dan Zain Blackout. Dengan pasangan itulah, Alias mula mendapatkan undangan dari berbagai pihak seperti RTS (kini Mediacorp), RTM, jemputan pertunjukan Singapura, Malaysia dan Brunei. Pembaharuan yang diperkenalkan Alias dan rakannya dan dunia lawak melayu pada zaman itu membantu mengekalkan kumpulan 3 sekawan itu dimana mereka digelar sebagai " The three Singapore stooges ". Oleh kerana bakatnya yang luar biasa, dia dengan mudah dapat meletakkan dirinya ditempat teratas diantara senarai pelawak yang sedia ada. Memang sebelum itu ramai pelawak telah lahir dengan menjadikan pelat cina sebagai satu bahan untuk mentertawakan orang. tetapi kemunculannya dengan menggunakan pelat itu agak berlebihan malah lebih mirip kepada keadaan sebenar, maka kerana itulah nama Abang Apek bermain di bibir masyarakat.

Penglibatannya dalam dunia lawak semakin menjadi hingga dikenali ke serata daerah seperti Malaysia, Kepulauan Riau serta Sumatera. Beliau juga pernah menjadi pelawak tetap di bahagian radio dan televisyen Singapura di samping aktif dalam mengikuti pertunjukan bakti dan amal pentas. Antara pertunjukan amal yang pernah disertainya ialah pertunjukan amal memungut derma lembaga kebajikan perempuan islam taiping di Bandar taiping pada hari ulang tahun kemerdekaan. Dimana rombongan itu diketuai oleh Dayang Sofia dan anggotanya terdiri dari Ahmad Daud, Jah Hj Mahadi, Murni Sarawak dan Alias Congo. Alias Congo memiliki kereta kesayangannya iaitu kereta Nash merah putih yang dihiasi bendera, beliau sering dilihat berkeliling bandar dengan menaiki kereta tersebut dan bagi sesiapa yang melambai-lambai dia akan membalasnya sebagai tanda hormat. Sebelum terlibat dunia lawak separuh masa, beliau merupakan seorang juruteknik di syarikat Trekshen.

Pernah suatu ketika dahulu semasa pertunjukan amal di Pekan dalam bulan April 1961, Alias pernah menyatakan kepada rakannya bahawa kerja sebagai juruteknik agak menyukarkannya memenuhi jemputan dalam bidang lawak, beberapa tahun kemudian dia pun berhenti kerja dari syarikat tersebut dan menjadi pelawak sepenuh masa. Kejayaannya dalam pentas komedi telah menarik pembikin filem Cathay Keris Film untuk menawarkannya satu watak dalam filem Raja Bersiong pada tahun 1963 iaitu sebagai tukang masak bersama pelakon utamanya ketika itu seperti Malek Selamat, Maria Menado, Ahmad Nisfu dan ramai lagi. Seterusnya beliau terus ditawarkan lagi dalam filem-filem keluaran syarikat itu seperti filem Pontianak Gua Musang pada tahun 1964 dan Rumah Itu Dunia Aku . Turut serta menawarkan peluang berlakon kepada beliau adalah pemilik syarikat perfileman di jalan Ampas iaitu Shaw Brothers, antara filem-filem hebat lakonannya di Jalan Ampas adalah filem Madu 3 sebagai Bintang Undangan dan Mambang Moden pada tahun 1964 bersama seniman Aziz Jaafar, Aziz Satar, S. Shamsuddin, Seniwati Saadiah, Normadiah dan banyak lagi.

Seterusnya pada tahun 1966 beliau diberikan peluang sekali lagi berlakon dalam filem Aksi Kuching bersama beberapa pelakon hebat tanah air dan teman rapatnya Aziz King Gedobel.

Salah satu tarikan yang menjadikan Alias Congo cukup terkenal ketika itu adalah sikapnya yang tidak sombong dan sedia menerima jemputan dan undangan baik dimana saja, termasuk di majlis perkahwinan dengan sukarela. Pendek kata sejak dikenali ramai, beliau tidak pernah menolak sebarang undangan walau dimana saja orang yang memanggilnya.

Isteri Alias Congo iaitu Zainah Yunus turut terkenal sebagai seorang pelawak dan pernah berlawak bersamanya di layar televisyen dan pentas. Menurut Zainah, dia mula berminat dalam bidang lawak setelah mendapat bimbingan dan dorongan dari suaminya. Beliau menyifatkan suaminya sebagai seorang yang begitu baik, walaupun dari kacamata masyarakat dia seorang yang lucu tetapi dalam kehidupan seharian dia adalah seorang yang tegas dan bertanggungjawab pada keluarga.

Bakat komedi semulajadi dalam dirinya itu digunakan sebaiknya dan dia pernah diundang keluar negeri untuk membuat pertunjukan pentas seperti di Sabah, Sarawak, Brunei dan Malaysia dengan bayaran yang lumayan. Hasil perkongsian hidup dengan suaminya itu di karuniakan seorang anak lelaki bernama Azhar.[6]

Kondisi Kesihatan

sunting

Lantaran selalu menerima permintaan masyarakat kesihatannya mula terganggu dan sering jatuh sakit, Namun beliau tidak begitu menghiraukan rasa sakit tersebut. Dengan dan tenaga serta pertolongan dari kawan-kawannya dia cuba melawan sakit tersebut demi memenuhi permintaan ramai.

Bencana

sunting

Peristiwa

sunting

Pada Tahun 1968, Alias Congo ditimpa kemalangan dimana rumahnya yang terletak di kampong Kembangan Lengkong Tiga dijilat api. Kerugian di anggarkan lebih daripada 800 Ringgit termasuk kereta kesayangannya Nash merah putih.

Selepas Peristiwa

sunting

Penduduk kampong amat bersimpati dengan pelawak itu dan menderma sebanyak 100 Ringgit kepada beliau.

Kematian

sunting

Pada tahun 1972, penyakit Alias Congo semakin parah dan akhirnya merengut nyawa. Banyak orang telah datang membanjiri rumahnya dan menghantar jenazahnya ke tanah perkuburan.[7] Sebulan sebelum kematiannya pada bulan Jun 1972, para peminat telah dikejutkan dengan berita kematiannya dan ramai yang menyerbu ke rumahnya di Lengkong Tiga, Kembangan tetapi rupanya berita itu cuma khabar angin saja, berita itu tersebar cepat diseluruh Singapura dan Malaysia.

Tetapi tidak lama selepas khabar angin itu menjadi kenyataan. Alias Congo telah meninggal dunia pada 29 Julai 1972 ketika berusia 40 tahun. Jenazahnya telah disemadikan di tanah perkuburan Kassim dengan lebih daripada 500 orang turut mengiringi jenazahnya. Sebagian besar mereka adalah terdiri daripada penyanyi pop dan bintang filem serta pelakon televisyen.[8] Beliau meninggal dunia di Hospital Besar Outram Road setelah penyakit gastristis ulcer yang dihidapi sejak beberapa waktu sebelum tenat.[9]

Selepas kematian Alias Congo, Zainah meneruskan kegiatan melawak dan menyanyi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Filemografi

sunting
Tahun Tajuk Watak Catatan
1963 Raja Bersiong Alang (Tukang Masak kemudian dilantik sebagai Datuk Bandar) Filem pertama
Rumah Itu Dunia Aku
1964 Pontianak Gua Musang Tolol
Air Mata Duyung Bedul
Madu Tiga Apek (apek yang cuba bunuh diri akibat kecewa dengan percintaan namun tidak sengaja terjatuh dalam kereta jamil)
Mambang Moden
1966 Aksi Kuching Filem terakhir
Tahun Tajuk Label Penyanyi
1968 Lainak Jenaka Play Boy Record, Ngee Fat Record Alias Congo, Momo Latiff, Liza
1970 Pahlawan Changkol Play Boy Record Alias Congo, Momo Latiff, Hasna Harun & Wak Jono Hanipa
Isteri Kuat Tidor
Bila Nak Di-Pinang Play Boy Record, Ngee Fat Record Alias Congo, Momo Latiff & Ena Yunos
Kata Mengata Play Boy Record Alias Congo & Momo Latiff
Penarek Becha
Baju Kurong
Sayang Disayang
1971 Joget Nak Kawin Play Boy Record, Ngee Fat Record Alias Congo Dan Momo Latiff, Kugiran Dian D.P.P. M. Wari
Mari Ke Ladang
Sama Sahaja
Tu Bulan Tu Bintang
Hidup Merana Zainal Yunos, Alias Congo Dan Dosti Boy Dan The Play Boys
Bayangan Menjelma
Terima Pinangan
Jenaka Congo
Bang Selebu Play Boy Record Alias Congo Dan Zainal Yunos
Oh Teman Ku
1960an - 1970an Apek Tua Nyonya Manis Sea Lion Record The Blue Beats, Alias Congo & Hasnah Rahman
Ikan Sakit
Hari Jadiku
Aku Terpedaya
Ala Emak Ku Ingin Kawin Zainah Yunos, Alias Congo & L. Hasnah
Enjit Enjit Semut
Apek Sayang Alias Congo
Si Pengacau Alias Congo Dan Zainal Yunos

Rujukan

sunting
  1. ^ "Facebook". www.facebook.com. Dicapai pada 2024-04-04.
  2. ^ Syakir, Aqil (2021-07-15). "Kenali "Nama" apek yang memegang bendera putih dalam filem P.Ramlee" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-04-04.
  3. ^ "TELEVISION AND MALAY FILM COMEDIAN ALIAS CONGO (RIGHT), HIS …". www.nas.gov.sg. Dicapai pada 2024-04-04.
  4. ^ "Facebook". www.facebook.com. Dicapai pada 2024-04-04.
  5. ^ Alias Congo - Apek Hidup Susah Mati Pun Susah, dicapai pada 2024-04-04
  6. ^ "NewspaperSG". eresources.nlb.gov.sg. Dicapai pada 2024-04-30.
  7. ^ "NewspaperSG". eresources.nlb.gov.sg. Dicapai pada 2024-04-30.
  8. ^ "NewspaperSG". eresources.nlb.gov.sg. Dicapai pada 2024-04-30.
  9. ^ "NewspaperSG". eresources.nlb.gov.sg. Dicapai pada 2024-04-30.
  10. ^ Popok (2011-01-27). "popOK-NET: The bluebeats - Alias Congo , Hasnah Rahman - EP SL 801". popOK-NET. Dicapai pada 2024-04-04.
  11. ^ "Alias Congo". Discogs.

Pautan luar

sunting