Alat kebesaran diraja Malaysia

perihal dan senarai alat kebesaran diraja Malaysia

Alat-alat Kebesaran Diraja Malaysia (Jawi: الت٢ كبسرن دراج مليسيا) merangkumi semua alatan perhiasan negara yang sangat dimuliakan dan merupakan tanda kebesaran dan kekuasaan Yang di-Pertuan Agong dan pasangannya, Raja Permaisuri Agong. Pertabalan Yang di-Pertuan Agong adalah upacara yang sangat istimewa. Hanya pada hari tersebut sahaja rakyat dapat melihat alat-alat kebesaran baginda. Beberapa daripadanya dijadikan Khazanah Negara Malaysia sejak tahun 2009.

 
Replika singgahsana pertama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Muzium Sejarah Nasional, Kuala Lumpur

Singgahsana di Balairong Seri Istana Negara direka dengan menggabungkan motif-motif daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Elemen utama ialah emas, untuk menambah kan keagungan dan aura imperial, dan keseluruhan reka bentuk menurus ke atas bagi memberi makna segala makhluk dicipta kan Allah.

Menurut legenda Melayu, Sultan Perak pertama, Sultan Muzaffar Shah I Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah (1528–1549) telah berlayar ke Perak untuk menubuhkan Kesultanan Perak. Sultan Muzaffar adalah keturunan Kesultanan Melayu Melaka, dan telah dibuang negeri ke Johor oleh Portugis. Baginda membawa banyak alat-alat kebesaran diraja Melaka di atas kapalnya, termasuk Mahkota Diraja Melaka.

Semasa sedang belayar, kapal baginda memasuki perairan cetek dan tersekat. Satu-satunya cara untuk membolehkan kapal belayar semula adalah dengan mengurangkan muatan kapal. Satu demi satu, barang-barang di atas kapal dibuang ke laut, tetapi kapal itu masih tidak berganjak. Akhirnya, barang yang tinggal ialah Mahkota Diraja Melaka yang kemudiannya ditawarkan kepada penunggu laut. Penunggu laut dikatakan gembira dengan tawaran baginda dan melepaskan kapal tersebut yang belayar sendirinya ke Perak.

 
Salinan tengkolok diraja, Muzium Negara Kuala Lumpur

Sultan telah melihat keajaiban ini sebagai petanda dan bersumpah bahawa baginda dan keturunannya tidak akan lagi memakai mahkota semasa upacara pertabalannya. Amalan ini kemudian menjadi ikutan Raja-Raja Melayu yang lain. Oleh itu, Tengkolok telah menggantikan mahkota.

Semenjak berkurun lamanya, Raja-Raja Melayu telah memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan pelbagai "solek" di ulunya, sebagai pakaian kebesaran. Bentuk ikatan (solek) dan warnanya adalah berlainan dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Kain ulu itu dinamakan "tengkolok".

Tengkolok diraja yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong pada hari pertabalannya adalah berwarna hitam bersulam benang emas, soleknya dinamakan Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan (yang juga mengilhamkan pemilihan sistem beraja itu sendiri). Di sebelah hadapan Tengkolok ini dipasangkan anak bulan dan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih yang dinamakan Bintang Persekutuan dan di tengah-tengah bintang terletak lambang Kerajaan Persekutuan yang berwarna-warni.

Muskat

sunting

Pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong untuk upacara pertabalan ialah Muskat. Rekabentuk baju ini berasal dari ibu negara Oman iaitu Muskat. Pada asalnya, Muskat dipakai oleh pegawai kerajaan Kedah.

Muskat buat pertama kali dipakai pada tahun 1960, pada hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra Jamalullail. Ia telah diperkenalkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj, Perdana Menteri Malaysia pertama, yang merupakan putera kerabat diraja Kedah.

Muskat diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam yang dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya yang melambangkan bunga kebangsaan Malaysia. Baju ini labuh hingga ke paras paha dan berlengan panjang. Pada kebiasaannya, baju ini dipakai sekali dengan seluar panjang bersulam di kaki dan tengkolok dalam majlis-majlis sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Hari Ulangtahun Keputeraan, lawatan-lawatan rasmi ke negeri-negeri seluruh Malaysia dan semasa Perasmian Sesi Penggal Persidangan Parlimen. Sambutan "Hari Merdeka" yang lalu menyaksikan pelbagai lagi penampilan pakaian ini.

Pending diraja

sunting

Pending Diraja atau royal buckle ini diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah dan bersulamkan dengan permata delima dan di tengah-tengahnya pula tertera lambang Kerajaan Persekutuan. Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas.

Keris diraja

sunting

Alat kebesaran diraja Melayu yang paling dimuliakan ialah keris. Kedua-dua Keris Pendek Diraja dan Keris Panjang Diraja dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Keris Pendek Diraja

sunting

"Keris Pendek Diraja" dihasilkan daripada tempaan mata keris lama, manakala bahagian ulu dan sarungnya pula diperbuat daripada gading bertatahkan emas. Ulu keris ini dinamakan 'Ulu Pekaka' dan berupa kepala Garuda. Pada sampir keris ini diterapkan dengan lambang Kerajaan Persekutuan. Keris ini juga adalah salah satu daripada pakaian kebesaran diraja dan seperti Keris Panjang Diraja ia hanya boleh dibawa atau dipakai oleh Yang Di Pertuan Agong

Keris Panjang Diraja

sunting

"Keris Panjang Diraja" adalah alat kebesaran negara yang utama dalam istiadat pertabalan. Keris Panjang Diraja adalah Keris Kerajaan dan merupakan tanda kebesaran dan kekuasaan. Keris ini, dari hulu hingga ke sarungnya bersalut dengan emas dan di atas sampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang sebelas Negeri-negeri Tanah Melayu. Matanya ditempa daripada besi waja yang diambil daripada sebelas bilah keris negeri-negeri itu. Hulu keris ini berbentuk Tapak Kuda dengan hiasan yang merupakan buah jering. Keris ini hanya dibawa oleh Yang di-Pertuan Agong dalam istiadat-istiadat tertentu sahaja dan dikucup sebagai satu bentuk penghormatan semasa hari pertabalannya.

Gendik Diraja

sunting

Gendik (Tiara) adalah pakaian ulu bagi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Ia diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat. Di tengah-tengahnya, di atas awan larat itu terdapat anak bulan dengan bintang, di mana kedua-duanya diperbuat daripada emas putih. Gendik ini dipakai oleh Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan waktu pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Gendik ini diperbuat khas supaya boleh dicerai menjadi loket dan keronsang.

Kalung Diraja

sunting

Kalung adalah rantai leher yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agong. Ia diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian. Kalung ini merupakan sebahagian daripada pakaian kebesaran yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan pada waktu pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Kalung ini juga boleh diceraikan menjadi sepasang subang, keronsang dan kerabu.

Cogan Alam

sunting

Cogan Alam ("Sceptre of the Universe") diperbuat daripada perak. Panjangnya 162.66 sentimeter berupa suatu bulatan di atas hulu tongkat. Di atas bulatan ini diperbuat anak bulan dengan bintang daripada emas. Di sekeliling bulatan ini diterapkan dengan lambang sebelas Negeri-negeri Tanah Melayu yang diperbuat daripada emas. Bulatan tersebut ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri manakala tongkatnya dihiasi dengan enam tangkai padi yang diperbuat daripada emas.

Cogan Agama

sunting

Cogan Agama ("Sceptre of Religion") adalah juga diperbuat daripada perak. Panjangnya 155.04 sentimeter berupa sebatang tongkat bulat berhulu besar. Di atas hulu tongkat itu diperbuat anak bulan dengan bintang pecah lima daripada emas. Pada batang dan hulunya diterapkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran.

Cokmar adalah satu lagi simbol kuasa dan antara alat kebesaran diraja yang paling dikenali kerana sering dilihat di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Parlimen. Cokmar adalah dua batang tongkat pendek berhulukan kubah merupakan alat perang zaman dahulu. Cokmar diperbuat daripada perak dan panjangnya adalah 81.32 sentimeter.

Alat kebesaran lain

sunting

Pedang Diraja, Keris Panjang Diraja dan Sundang Diraja adalah tiga senjata Melayu lama yang dijadikan sebahagian daripada alat kebesaran Diraja iaitu diambil daripada mata pedang, keris panjang dan sundang zaman purbakala. Keris Panjang dan Sundang pula disalut dengan perak serta berukir-ukir pada hulu dan sarungnya.


Payung ubur-ubur kuning dan Tombak Berambu ini juga adalah sebahagian daripada alat kebesaran diraja. Terdapat dua puluh kaki Payung Ubur-ubur Kuning yang diperbuat daripada kain sutera yang berwarna kuning raja iaitu suatu warna yang dipandang mulia oleh orang Melayu dan dikhaskan menjadi lambang kebesaran Raja-rajanya. Di kemuncaknya dipasangkan anak bulan dengan bintang. Di samping itu terdapat dua puluh batang Tombak Berambu yang matanya berlok tiga diperbuat daripada tombak-tombak pusaka dari sebelas buah negeri di Semenanjung Malaysia.

Istilah nobat berasal daripada perkataan "naubat" Parsi, yang bermaksud sembilan jenis alat. Nobat adalah salah satu cabang seni muzik tradisi yang terdapat di Malaysia. Terdapat empat buah negeri di Malaysia yang mempunyai kumpulan alat muzik Nobat iaitu Kedah, Perak, Terengganu dan Selangor. Nobat negeri Kedah dikatakan sebagai yang tertua dan mula diperkenalkan di Kedah pada zaman pemerintahan Sultan Ataullah Muhammad Shah I iaitu pada tahun 1118 Masihi. Nobat merupakan orkestra Diraja bagi majlis adat-istiadat istana seperti istiadat pertabalan, perkahwinan, menjunjung duli, berkhatan, kemangkatan dan sebagainya.


Untuk Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, orkestra Nobat akan dipinjam dari negeri-negeri yang disebutkan di atas. Lazimnya, untuk Sultan-Sultan yang tidak mempunyai nobatnya yang tersendiri, baginda akan menggunakan Nobat Kedah. Tapi ini tertakluklah kepada titah baginda. Antara alat-alat Nobat yang asas adalah Serunai, Nafiri, Nengkara / Nahara / Negara dan dua buah Gendang Nobat. Walau bagaimanapun, untuk Nobat Diraja Kedah, ini ditambah dengan Gong, manakala kopak-kopak ditambah dalam Nobat Diraja Terengganu.

Lagu-lagu nobat

sunting

Dalam Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, tiga lagu Nobat dimainkan iaitu:

  • Raja Berangkat - untuk keberangkatan masuk dan keluar Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
  • Menjunjung Duli - apabila alat-alat kebesaran diraja pertabalan dibawa masuk ke dalam Balairong Seri.
  • Raja Bertabal - selepas Yang Di-Pertuan Agong selesai membaca Warkah Ikrar.

Rujukan

sunting

Kesusasteraan

sunting
  • bin Haji Taha, Adi (2004). Pameran Raja Kita. Kuala Lumpur: Department of Museums and Antiquities, Malaysia. ISBN 967-9935-17-5.

Pautan luar

sunting