Lagu "Ala Canggung" merupakan lagu rakyat bagi Negeri Perlis. Lagu ini dijadikan irama iringan bagi tarian Canggung yang merupakan tarian tradisional di Negeri Perlis.

Sejarah

sunting

Lagu "Ala Canggung" dikarang oleh Encik Wan bin Che Mat seawal pratahun 2000-an seusai tercetusnya tarian Canggung di Negeri Perlis pada era Pascaperang Dunia Kedua. Tarian Canggung berasal dari tarian Rambong dan Makyong Laut yang telah ditokok tambah oleh masyarakat Negeri Perlis sehinggalah kini dikenali sebagai tarian Canggung. Tarian Canggung mula diperkenalkan semasa era pendudukan Jepun sekitar tahun 1941 oleh dua orang penari adik-beradik, iaitu Che Lian dan Che Intan yang merupakan ahli tarian dari Kangar dalam satu pesta hiburan bagi tentera Jepun dan orang ramai yang diadakan di bandar Kangar. Mulai dari persembahan ini berkembanglah tarian Canggung ke seluruh negeri Perlis. Kini, tarian Canggung senantiasa diiringkan dengan lagu "Ala Canggung" sebagaimana yang telah digubah oleh Encik Wan bin Che Mat bagi menambahkan lagi keserian jua keasyikan tarian Canggung di Negeri Perlis.[1] Perkataan "Canggung" berasal daripada bahasa Melayu Klasik yang bererti kekok atau tidak biasa. Tarian Canggung dengan iringan lagu "Ala Canggung" biasanya dipersembahkan selepas musim menuai untuk mengisi masa lapang para petani di mana masyarakat Negeri Perlis bergantung sepenuhnya dengan sawah padi. Selain itu, tarian Canggung juga dipersembahkan sewaktu upacara tempatan ataupun upacara perkahwinan. Variasi tarian Canggung sama dengan tarian Ronggeng, akan tetapi mempunyai nilainya tersendiri. Keasliannya terletak kepada nyanyiannya secara berbalas pantun. Berikut merupakan Pantun Canggung yang telah menjadi ilham kepada gubahan lagu "Ala Canggung":

Nasi kunyit gulai ayam, Singgah makan di Batas Lintang; Songkok senget berjalan malam, Abang nak cari si sanggul lintang.

Kuala Tunggang di Padang Siding, Tempat orang pasang penangin; Sanggul lintang bunga disunting, Bagaimana abang tak teringin.

Bukit Chuping Gua Berangin, Tempat orang mengambil baja; Putih kuning jangan duk ingin, Banyak orang duk balik saja.

Batu Lima di Batas Liku, Tempat orang menunggang kuda; Kuntum bunga tunjuk kelaku, Bagaimana abang rasa tak gila.

Akar tuba di Gunung Sapi, Akarnya panjang menjalar-jalar; Jangan cuba bermain api, Nanti tangan akan terbakar.

Ke Bukit Temiang rebus ketupat, Mengucai lempuk di Kampung Beseri; Kalau kupinang-pinang tak dapat, Kupujuk-pujuk kubawa lari.

[Nukilan asal oleh Encik Mahmud bin Wahid][2]

Pantun yang dinyanyikan oleh penari Canggung lebih berbentuk kasih, jenaka, memikat, memujuk, sindiran dan juga nasihat. Kebiasaannya, pantun yang dihasilkan adalah berkisarkan tentang pertanian khususnya melibatkan kerja-kerja penanaman sawah padi. Tarian Canggung melibatkan dua hingga lapan orang puteri yang berpasangan dengan lelaki di mana setiap pasangan akan menyanyi secara berbalas pantun mengikut rentak dan irama lagu sambil menari tarian Canggung. Biasanya, puteri tarian Canggung akan memakai baju Kurung Kedah dengan kain batik yang dihiasi bunga di sanggul dan memegang sapu tangan ketika menari. Setiap persembahan tarian Canggung akan diiringi oleh kumpulan muzik dengan menggunakan peralatan seperti anak rebana, gong, gendang dan gesekan biola yang dibawa masuk dari Negara Siam. Tarian Canggung selalunya akan digandingkan dengan tarian Cinta Sayang, Mak Inang, Ayam Didik dan Makyong Laut.

Ala Canggung


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Nasi kunyit sayang gulailah yang ayam

Tang mana ayam?

Dalam belangalah ayam

Hai sedapkah ayam?

Mari dimakan di Batas Lentang


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Songkok senget sayang jalanlah yang malam

Mengkalalah malam?

Satnilah malam

Hai sungguhkah malam?

Hendak memikat si sanggul lentang


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Kuala Tunggang dek oi di Padanglah yang Siding

Tang manalah Siding?

Hai di sanalah Siding

Hai jauhkah Siding?

Tempatlah orang julang penangin


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Sanggul lentang dek oi bungalah disunting

Siapa dok sunting?

Hai dia dok sunting

Hai betoikah sunting?

Bagailah mana abang tak ingin


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Bukit Chuping sayang Gualah Berangin

Di mana Berangin?

Di sana Berangin

Hai sungguh Berangin?

Tempatlah orang mengambil baja


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Putih kuning bang oi banyaklah dok ingin

Hai siapa dok ingin?

Hai depa dok ingin

Hai sungguhkah ingin?

Banyaklah orang dok balik saja


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Batu Lima dek oi di Bataslah yang Liku

Tang manalah Liku?

Hai tang konalah Liku

Hai jauhkah Liku?

Tempatlah orang menunggang kuda


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Sekuntum bunga dek oi tunjuklah kelaku

Siapa kelaku?

Hai di sana kelaku

Mana dia kelaku?

Bagailah mana orang tak gila


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Akar tuba sayang di Gununglah Sapi

Tang mana Sapi?

Tanduklah Sapi

Hai besaqkah Sapi?

Akarnya panjang menjalar-jalar


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Jangan cuba bang oi bermainlah api

Hai hangatkah api?

Di sanalah api

Hai sungguhkah api?

Nanti terbakar tangan terbakar


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Ke Bukit Temiang dok merebuslah ketupat

Mana dia ketupat?

Hai di sana ketupat

Hai banyak ketupat!

Mengucai lempuk di Kampung Beseri


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le


Kalau kupinang dek oi pinanglah tak dapat

Siapa tak dapat?

Hai abang tak dapat

Kesian tak dapat!

Kupujuk-pujuk kubawak lari


Ala canggung mak cik lah mak cik canggung

Canggung canggung la la li la le

Nyanyian

sunting
Ala Canggung.wav


https://youtu.be/Er_0niTsUAM ⸻ HIWANUS MY

Tarian

sunting

https://youtu.be/q1FQ9_6RjIQ ⸻ HIWANUS MY

Rujukan

sunting
  1. ^ mysenibudaya JKKN (2021-03-19), SENI BUDAYA TRADISIONAL : TARIAN CANGGUNG, dicapai pada 2024-08-28
  2. ^ "Suara Kreatif Warga Kita I Pantun Canggung". Issuu (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-08-28.