Jangan sunting halaman ini jika anda tidak merujuk kepada jurnal, artikel atau buku yang sahih!

Penafian

sunting
  • Artikel ini ditulis oleh Manual Damilan dalam Jurnal Borneo Arkhailogia[1].
  • Tokoh Masyarakat Dusun Kimaragang Dari sudut Sejarah Lisan.

Biografi

sunting

Aki Tumunda Bin Yunggonit telah dilahirkan sekitar tahun 1780-an (Omar Majun, 2016)[2]. Aki Tumunda adalah daripada etnik Dusun Kimaragangyang majoritinya mendiami kawasan Pekan Kecil Tandek, Kota Marudu. “Tumunda” bukanlah nama sebenar tokoh ini. Nama Tumunda adalah nama yang diberikan oleh pemerintah Brunei pada masa itu (Mansanah @ Abdul Halim bin Maratun, 2016)[3]. Nama Tumunda diberikan kepada Aki Tumunda kerana kehebatan beliau menunda kapal lanun. Ringkasnya, nama Tumunda diberikan untuk menggambarkan kehebatan Aki Tumunda dalam memusnahkan kapal lanun yang disifatkan oleh Sultan Brunei sebagai “ditunda” oleh Aki Tumunda. Aki Tumunda digambarkan sebagai seorang yang berbadan sasa dengan tinggi dianggarkan sekitar enam kaki. Aki Tumunda juga dikenali dengan sikapnya yang bijak berkata-kata, berkarismatik dan boleh mempengaruhi orang lain (Majinau Injawan, 2016)[4]. Aki Tumunda dikatakan pernah mendapatkan seekor kerbau daripada seorang penduduk dengan cara hanya melalui kepetahannya berkata-kata (Damilan Lejaun, 2016). Aki Tumunda berasal daripada Kampung Lumpas yang terletak di kawasan tanah tinggi di Telupid di bahagian utara Kampung Sonsogon Paliu (Omar Majun, 2016)[5]. Aki Tumunda membesar di kampung tersebut bersama keluarganya. Walau bagaimanapun, keadaan penduduk di kampung itu yang sering mencuri hasil tanaman Aki Tumundamenyebabkan Aki Tumunda berpindah ke Kampung Minitampak seterusnya ke Kampung Togomonggis atau atau dikenali sebagai Kampung Salimandut pada masa kini.

Ilmu Kebatinan

sunting

Aki Tumunda mempunyai ilmu kebatinan yang menjadikan beliau seorang yang gagah kerana memiliki ilmu mempertahankan diri dan kebal dari semua jenis senjata. Tidak diketahuidengan siapa dan di mana beliau menuntut ilmu tersebut (Androd Sadian, 2016). Menurut Majinau Injawan, Aki Tumunda memperoleh kekebalannya secara ajaib dan unik. Semasa beliau dan abangnya, iaitu Aki Pamansah sedang tidur di beranda sebuah rumah panjang. Dikatakan bahawa Aki Tumunda dikejutkan oleh satu semangat dan terjaga dari tidurnya. Pada masa yang sama juga seorang wanita bernama Yugo sedang menjemur kain di kaki lima berhampiran tempat Aki Tumunda dan abangnya tidur. Aki Tumunda berasa terkejut kerana terlihat cahaya yang bersinar-sinar pada bahagian kemaluan wanita tersebut. Tanpa disedari, Aki Tumunda didorong oleh suatu semangat untuk mengambil cahaya tersebut sekaligus menyentuh bahagian kemaluan wanita itu. Serta merta cahaya tersebut meresap kedalam tubuhnya. Rentetan peristiwa itu, Aki Tumunda telah mendapatkan kekebalan serta berkahwin dengan Yugo atas hukum adat pada waktu itu yang melarang keras lelaki dan wanita bersentuhan antara satu sama lain tanpa sebarang ikatan. (Majinau Injawan, 2016).

Kegiatan Ekonomi

sunting

Kegiatan ekonomi masyarakat di Sabah adalah bersifat sara diri dan berskala kecil yang hanya untuk memenuhi keperluan seisi keluarga (Felix Tongkul, 2002: 42). Masyarakat Dusun Kimaragang di Kota Marudu menanam padi, memungut hasil hutan dan memburu untuk menyara hidup. Sebelum berpindah ke Kampung Togomonggis, Aki Tumunda bercucuk tanam di Kampung asalnya, iaitu di kampung Lumpas. Aki Tumunda berdagang selepas beliau berkahwin dengan isterinya, Odu Yugo. Beliau berdagang sambil merantau kerana Aki Tumunda sangat minat melawat tempat baharu. Sistem barter menjadi keutamaan Aki Tumunda dalam menjalankan perdagangannya sesuai dengan sistem perdagangan pada masa itu yang mengamalkan pertukaraan barang atas kepercayaan kedua-dua pihak. Hal ini sesuai dengan pernyataan the economic system is based on principles of reciprocity(Felix Tongkul, 2002: 42).Aki Tumunda memperdagangkan getah damar yang dikumpul sama ada dari hutan atau diborong daripada penduduk kampung (Jukinah Adun, 2016). Aki Tumunda akan berlayar ke Brunei, Kuala Abai dan Kimanis untuk memperdagangkan getah damar tersebut. Getah damar sangat penting sebagai bahan bakar pada masa itu. Damar adalah salah satu komoditi terkenal di Kota Marudu sejak sebelum tahun 1830 (Manshur Bin Kotung, 2003: 7). Damar tersebut akan digantikan dengan barang tembaga seperti talam tembaga, tepak sireh, gong, dan barangan tembaga lain sama ada di Brunei, Kuala Abai atau Kimanis (Omar Majun, 2016). Menurut Baszley Bee (2016)sekitar abad ke 18 dan ke 19, hanya ada dua tempat sahaja yang terkenal dengan penghasilan barangan tembaga, iaitu di Kuala Abai (Kota Belud) dan Brunei. Barangan tembaga ini seterusnya akan didagangkan semula kepada penduduk di Kota Marudu di kawasan Mosog ataupun yang disebut sebagai Kampung Asin-Asin hari ini (Omar Majun, 2016). Kawasan tersebut yang terletak di Kampung Taritipan, Kota Marudu dahulunya adalah tamu tempat masyarakat tempatan berkumpul untuk berjual-beli. Aki Tumunda biasanya berlayar seorang diri (Omar Majun, 2016). Setia Bakar yang berasal daripada Kampung Tingkalanon adalah satu-satunya rakan yang pernah menyertai Aki Tumunda berlayar (Omar Majun, 2016).Sebelum berlayar, Aki Tumunda akan menjalankan beberapa ritual khas untuk memastikan keselamatannya.Kepercayaan kebanyakan masyarakat Dusun adalah tentang adanya semangat jahat atau yang disebut sebagai Rogon dalam bahasa Dusun Kimaragang. Rogonadalah kuasa jahat yang wujud daripada semangat orang yang sudah meninggal yang tidak pergi ke Gunung Kinabalu, iaitu tempat bagi roh orang yang telah meninggal dunia (Arena Wati, 1978: 11). Rentetan itu, Aki Tumunda menjalankan ritual ringkas untuk mengelakkan gangguan Rogon. Ritual melambung lembing sering dilakukan oleh Aki Tumunda sebelum mula berlayar. Aki Tumunda akan mengambil tombak dan melambungnya ke udara. Apabila tombak kembali jatuh, Aki Tumunda akan menyambut mata tombak tersebut dengan menggunakan kakinya. Sekiranya tombak tersebut mencederakan kakinya, beliau akan membatalkan hasrat untuk berlayar.Beliau akan meneruskan hasratnya untuk berlayar jika hal sebaliknya yang berlaku. Ritual tersebut dinamakan sebagai ritual Modsipak(Omar Majun, 2016).

Peranan Aki Tumunda Sebagai Pedagang

sunting

Sebagai seorang pedagang, Aki Tumunda telah membantu penduduk kampungnya mencari sumber pendapatan (Jukinah Adun, 2016). Apabila permintaan terhadap getah damar semakin tinggi, maka Aki Tumunda mengupah penduduk kampung mengumpulkan getah damar di hutan. Damar tersebut seterusnya akan ditukarkan dengan makanan, kerbau dan barangan tembaga. Aki Tumunda juga mempunyai seorang kawan dari Ranau yang bernama Aki Pondiling (Miun, 2016). Aki Pondiling ini juga mengumpulkan damar untuk diborong oleh Aki Tumunda. Dengan wujudnya situasi yang setimpal antara Aki Tumunda dengan penduduk kampung, ini memudahkan penduduk kampung mendapatkan barangan keperluan mereka seterusnya juga memudahkan Aki Tumunda menjalankan aktiviti perdagangannya. Barang tembaga adalah baranganyang penting dalam masyarakat Dusun Kimaragang untuk menambahkan koleksi harta keluarga atau yang disebut sebagai dapu. Barangan atau harta daripada dapuini seterusnya berperanan penting dalam adat perkahwinan masyarakat Dusun Kimaragang. Kebiasaannya, barang hantaran yang sering digunakan adalah beberapa gong yang berlainan jenis (Ranjit Singh, 2003: 45). Dengan itu, pengumpulan bahan untuk amalan adat, khususnya adat perkahwinan dari sudut kemudahan mendapatkan barangan hantaran lebih mudah di laksanakan melalui peranan Aki Tumunda sebagai pedagang.

Peranan Aki Tumunda Dalam Keselamatan

sunting

Teluk Marudu adalah salah satu kawasan di kepulauan Borneo yang menjadi tumpuan kegiatan melanun dalam kalangan kaum Iranun dan Balanggingi (Ismail Ali, 2013: 28). Teluk Marudu meliputi kawasan Daerah Kota Marudu pada hari ini (Jukinah Adun, 2016). Nelayanyang menjalankan kegiatan menangkap ikan merasa tidak selamat untuk menjalankan kegiatan mereka kerana sering diganggu oleh lanun sehinggakan barangan serta hasil tangkapan mereka dirampas. Semasa dalam pelayaran, Aki Tumunda sering diganggu oleh sekumpulan kapal lanun yang cuba untuk merampas harta benda dan barang dagangannya (Androd Sadian, 2016). Apabila Aki Tumunda berhadapan dengan kapal sedemikian, maka beliau akan mempersiapkan diri untuk berperang. Apabila kapal lanun menghampiri kapalnya, Aki Tumunda akan mengikatkan bahagian haluanperahunya dengan perahu lanun sebelum membalas serangan kumpulan lanun tersebut. Dengan kekebalan yang ada, Aki Tumunda tidak cedera oleh serangan lanun tersebut (Omar Majun, 2016). Aki Tumunda membalas serangan lanundengan menghadapi mereka satu-persatu sehingga semuanya tewas. Dalam beberapa siri pelayaran Aki Tumunda, beliau sering berhadapan dengan gangguan kumpulan lanun, walau bagaimanapun, Aki Tumunda mampu mempertahankan diri (Jukinah Adun,2016) seterusnya menjadikan beliau seorang yang disegani oleh lanun di sekitar perairan kepulauan Borneo, khususnya Teluk Marudu. Teluk Marudu menjadi tempat yang selamat daripada aktiviti lanun kerana mereka tidak berani beroperasi sekiranya mereka mengetahui keberadaan AkiTumunda di kawasan itu (Androd Sadian, 2016). Maka dengan itu, kesempatan ini telah digunakan oleh para penduduk di sekitar Teluk Marudu untuk menjalankan kegiatan mereka di laut, seperti menangkap ikan, memungut hasil laut dan sebagainya.

Aki Tumuda Membantu Kerabat Sultan Brunei

sunting

Aki Tumunda pernah menyelamatkan kerabat diraja Sultan Brunei di perairan Teluk Marudu ketika dia dan dua orang rakannya berlayar untuk bersiar-siar (Mansanah @ Abdul Halim Bin Maratun, 2016). Salah seorang rakannya bernama Setia Bakar (Omar Majun,2016). Seorang lagi rakannya tidak diketahui. Semasa mereka bersiar-siar, Aki Tumunda dan rakannya telah melihat sebuah kapal besar dikepung oleh kapal kecil milik lanun. Walau bagaimanapun, pada masa itu, Aki Tumunda dan rakannya tidak menyedari kapal tersebut adalah milik kerabat diraja Brunei. Aki Tumunda dan rakannya dengan segera menghampiri kapal tersebut. Aki Tumunda terlebih dahulu menenggelamkan perahu lanun itu, seterusnya naik di atas kapal besar tersebut dan bertarung dengan semua lanunyang cuba merampas isi kapal tersebut (Mansanah @ Abdul Halim Bin Maratun,2016). Aki Tumunda dan rakannya telah berjaya menewaskan lanun tersebut.Selepas peristiwa itu, Sultan Brunei menghantar utusannya ke Teluk Marudu untuk menjejaki Aki Tumunda. Sultan Brunei berhasrat untuk memberikan ganjaran sebagai tanda terima kasihnya kepada Aki Tumunda kerana menyelamatkan kerabatnya yang diganggu lanun di Teluk Marudu. Namun begitu, Aki Tumunda dan rakannya menyembunyikan identiti kerana salah faham dengan tindakan Sultan Brunei. Setelah beberapa bulan utusan Sultan Brunei menjejaki Aki Tumunda, akhirnya mereka telah menemukannya. Setelah itu, Aki Tumunda dan rakannya pun telah dibawa ke Brunei untuk menghadap Sultan Omar Ali Saifuddin II (1828-1852). Rentetan peranan yang telah dimainkan oleh Aki Tumunda, maka Sultan Omar Ali Saifuddin II telah menganugerahkan kepada beliau sebilah keris serta gelaran Datuk bagi menghargai sumbangannya (Omar Majun, 2016). Dua orang rakan Aki Tumunda juga turut diberikan ganjarankain tanpa gelaran (Omar Majun, 2016).

Kepimpinan Aki Tumunda

sunting

Selain berperanan sebagai seorang pedagang dan pahlawan, Aki Tumunda juga adalah Ketua Kampung di kampungnya. Aki Tumunda sebenarnya tidak inginkan apa-apa jawatan dalam sesebuah kawasan atau kampung kerana beliau lebih selesa menjadi rakyat biasa (Omar Majun, 2016). Pada peringkat awal, Aki Tumunda menolak apabila ditawarkan menjadi Ketua Kampung (Omar Majun, 2016). Walau bagaimanapun, penduduk kampung sering bertemu dengan Aki Tumunda untuk meminta bantuannya dalam menyelesaikan masalah yang timbul dalam kalangan penduduk kampung. Pengalaman melihat corak pentadbiran di Brunei mematangkan lagi pemahamannya dalam bidang kepimpinan (Majinau Injawan, 2016). Atas sifat kepahlawanannya itu serta pengalamannya, maka penduduk tempatan di kawasannya lebih senang memilih beliau sebagai ketua mereka. Tambahan pula, tradisi masyarakat Kota Marudu dahulunya lebih memberikan kepercayaan kepada mereka yang memiliki keistimewaan tertentu serta masih berpegang kepada prinsip ‘siapa kuat atau gagah’, maka individu tersebut dianggap sebagai ketua (Manshur Bin Kotung, 2003: 5).Hal ini menyebabkan Aki Tumunda tiada pilihan selain daripada menjadi pemimpin kepada masyarakat atau penduduk kampung.Kawasan yang dijagaoleh Aki Tumunda adalah bermula daripada Kampung Nolotan sehingga ke kawasan kampung Minitampak manakala kawasan kampung lain dijaga oleh dua tokoh lain, iaitu Aki Sambion dan Odu Kolinjim (Androd Sadian, 2016). Aki Tumunda sangat menitik-beratkan aspek keselamatan ekoran kebiasaan masyarakat dahulu berperang antara satu kumpulan dengan puak yang lain. Rentetan itu, Aki Tumunda meminta agar dia dipanggil dengan segera sekiranya terdapat penceroboh atau ancaman bahaya yang lain, (Omar Majun, 2016). Selain itu, Aki Tumunda juga akan terlibat dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan, seperti pembahagian tanah untuk membuka ladang atau sawah. Aki Tumunda menjadi perantara untuk meleraikan perbalahan atau perselisihan dalam pemilikan tanah dan juga hal yang berkaitan dengan adat resam masyarakat Dusun Kimaragang (Androd Sadian, 2016). Sifat kepimpinan Aki Tumunda ini seterusnya telah diwarisi oleh keturunannya, iaitu Jamari bin Ponggoron, bekas Native Chiefatau Ketua Anak Negeri (KAN) pada penghujung zaman British. Menurut Baszley Bee (2016), pemilihan bagi jawatan Native Chief ini adalah berdasarkan pengaruh seseorang individu itu. Dalam hal ini, Mosli Tarsat juga setuju dan mengatakan bahawa individu yang menjawat jawatan sebagai KANini adalah mereka yang berpengaruh dan ketua dalam masyarakat peribumi itu sendiri (Mosli, 2007: 2). Ringkasnya, pemilihan Jamari bin Ponggoron sebagai KANboleh dikatakan daripada pengaruh datuknya.

Rujukan

sunting
  1. ^ https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/JBA/article/view/1247/803
  2. ^ Encik Haji Omar @ Majuning Bin Majun. 76 Tahun. Kampung Talantang I, Kota Marudu. Latar Belakang, Peranaan dan Cabaran Aki Tumunda. 23 Ogos 2015 & 05 Januari 2016.
  3. ^ Encik Abdul Halim @ Mansanah Bin Maratun. 64 Tahun. Pekan Goshen, Kota Marudu. Latar Belakang, Peranan dan Cabaran Aki Tumunda. 25 Febuari 2016
  4. ^ Encik Majinau Injawan. 75 Tahun. Kampung Longob, Kota Marudu. Generasi Ke-3 Aki Tumunda sertaBekas Guru dan Membantu Encik Haji Omar Majun dalam Kajian Susur-Galur Aki Tumunda. Latar Belakang, Peranan danCabaran Aki Tumunda. 05 Januari 2016.
  5. ^ Encik Damilan Lejaun. 58 Tahun. Kampung Morion, Kota Marudu. Latar Belakang, Peranan dan Cabaran Aki Tumunda. 07 Januari 2016.